krim

Kebijaksanaan Code "Serangan Subuh" diketuai Tun Mahathir mengambil kembali tanah-tanah di Malaysia yang dipegang Inggeris selama 160 tahun




Serangan Subuh atau 'Dawn Raid' pada tahun 1981, boleh dianggap sebagai kemerdekaan Malaysia dari segi ekonomi. Walaupun negara sudah merdeka sejak tahun 1957, tetapi dari segi ekonomi kita masih belum Merdeka sepenuhnya daripada British. Melalui syarikat milik British, mereka terus menjajah dan memerah hasil bumi negara kita. Hasil bumi negara kita, tetapi kekayaannya diisap oleh British. Syarikat British seperti Guthrie terus melebarkan keluasan ladang mereka sehingga mencecah 200,000 ekar pada tahun 1981 berbanding 175,000 ekar pada tahun 1970-an. Usaha mengambil alih segala hasil bumi dan kekayaan negara yang dimiliki orang asing ini adalah hasil usaha sejak zaman Tun Abdul Razak lagi sebelum ia terus dilaksanakan pada awal pemerintahan Tun Dr. Mahathir.



Ketika Serangan Subuh, Tun Dr. Mahathir baru sahaja 2 bulan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Pengambil alihan Guthrie ini juga dilihat penting dan mendesak kerana diwaktu itu ada usaha daripada sebuah gabungan koperasi hartawan cina di Malaysia iaitu syarikat MPH. Pada waktu itu pun MPH sudah mula membeli beberapa kepentingan di dalam Guthrie. Serta usaha giat daripada hartawan cina lain yang cuba membeli tanah-tanah yang dimiliki British. Pada waktu itu syarikat Pemodalan Nasional Berhad (PNB) sudah memiliki 25% saham di dalam Guthrie. Jadi untuk menjayakan Serangan Subuh ini PNB hanya perlukan 15% sahaja lagi. Sebelum itu cubaan pertama mengambil alih Guthrie gagal, disebabkan ada sedikit masalah teknikal serta harga saham Guthrie yang mahal diwaktu itu.

Setahun kemudian, perancangan yang lebih rapi dibuat. Pada waktu itu Tun Dr. Mahathir masih lagi menjadi Menteri Perdagangan dan Tengku Razaleigh pula sebagai Menteri Kewangan telah dimaklumkan akan rancangan ini oleh perancang utama Serangan Subuh iaitu Tun Ismail Mohamed Ali, Pengerusi PNB pada ketika itu.



Tun Ismail Mohamed Ali, adalah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia. Berkhidmat dari 26 Julai 1962 sehingga 26 julai 1980. Juga merupakan Gabenor BNM melayu yang pertama.


Beliau juga adalah abang ipar kepada Tun Dr. Mahathir. Salah seorang lagi tokoh yang bekerja keras di dalam Operasi Serangan Subuh ini adalah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pengurus pelaburan PNB pada ketika itu.



Tan Sri Khalid dipilih mungkin disebabkan pengalaman beliau yang pernah bekerja dengan Barings London, merupakan syarikat yang menjadi penasihat kewangan kepada Guthrie. Ada satu lagi pihak yang juga turut terlibat di dalam serangan ini iaitu, N.M. Rothschild & Sons Ltd. John McDonald (Jock) GREEN-ARMYTAGE adalah wakil daripada Rothschild untuk mengatur strategi menawan Guthrie. Satu lagi pihak yang terlibat dalam menjayakan Serangan Subuh ini adalah Rowe & Pittman. untuk melaksanakan pengambilalihan saham ini juga memerlukan modal yang cukup besar. Dana yang besar ini datangnya daripada Petrons, PERNAS dan juga Skim Amanah Saham Nasional (ASN).
Hari Serangan Subuh (Dawn Raid) Serangan Subuh di tetapkan pada 7 September 1981, pukul 9.00 pagi (waktu London) iaitu pukul 4.00 petang waktu Malaysia. Rancangannya adalah untuk mendapatkan persetujuan penjual-penjual saham sebelum bursa saham London dibuka. Namum begitu rancangan ini perlu dilakukan secara rahsia. Sebab itu rancangan ini dilaksanakan dalam kumpulan yang kecil. Supaya maklumatnya tidak bocor kepada pihak British atau Guthrie khususnya. Ianya adalah serangan hendap ke atas Guthrie.



 Jika rancangan ini dihebohkan, harga saham Guthrie akan menjadi tinggi dan sudah semestinya pihak pengurusan Guthrie akan bertindak mengagalkan rancangan ini. Tan Sri Khalid Ibrahim ditugaskan mengurus urusan pembelian di Malaysia, pemilik saham disini ialah Bank Simpanan, Genting dan Kuwait Investment Group. Urusan pembelian saham Guthrie di dalam negara tiada masalah yang besar kerana semua pemilik saham adalah 'mesra' dengan PNB. Tun Ismail Mohamed Ali pula mengurus pembelian saham di Singapura daripada pihak OCBC.

Di London, pula urusan membeli saham diuruskan oleh broker Rowe & Pittman serta Rothschilds. Berita buruk dari Singapura apabila OCBC tidak bersetuju menjual saham mereka kepada PNB. Namum Serangan Subuh harus diteruskan kerana PNB sudah memiliki saham daripada Bank Simpanan, Genting dan Kuwait Investment Group. Di London, urusan pembelian saham berjalan lancar, Rothschilds telah berjaya memujuk M&G Investment Trust menjual 11% saham Guthrie kepada PNB. Manakala Rowe & Pittman pula bertindak membeli saham daripada pelabur-pelabur kecil dan berjaya mengumpul 5% saham daripada orang British. Akhirnya dalam masa kurang 4 jam, PNB telah memiliki 50.41% saham di dalam Guthrie walaupun tanpa saham yang dimiliki OCBC. Ia berjaya dilaksanakan tanpa disedari oleh pihak pengurusan Guthrie. Jadi, Guthrie kini telah menjadi milik Malaysia. Pengambilalihan ini juga telah mengembalikan kira-kira 200,000 ekar tanah ladang kepada rakyat Malaysia.

 Serangan Susulan Selepas Serangan Subuh. Serangan ini juga telah menjatuhkan air muka British, selepas lompang pada sistem bursa London telah dieksploitasi oleh bekas tanah jajahannya sendiri. Selepas tragedi ini, Bursa London telah dipinda peraturannya bagi menjaga syarikat-syarikat milik British tidak jatuh ketangan orang lain. Sebulan selepas Serangan Subuh, London dikejutkan sekali lagi oleh Tun Dr. Mahathir. Tun M telah mengumumkan bahawa Malaysia akan memboikot barangan dan perkhidmatan British dalam kempen yang diberi nama 'Buy British Last'.



 Kontrak Dunlop yang membekal tayar kepada kerjaan sejak 1963 dibatalkan dan diberikan kepada sebuah syarikat U.S.A. sehingga mengakibatkan Dunlop bertindak menjual kepentingannya kepada MPH. Dalam masa 3 bulan, semua saham-saham Guthrie telah dijual kepada PNB secara perlahan-lahan. Dan penghujung tahun 1981, Guthrie telah berpindah milik 100% kepada PNB. Ibu pejabat operasi Guthrie telah dipindahkan daripada London ke Kuala Lumpur. dan Tun Ismail Mohamed Ali telah mengambil alih pengurusan Guthrie. Tun Dr. Mahatihr juga telah memboikot Persidangan Negara-Negara Komanwel. Dari sinilah juga bermulanya 'Dasar Pandang ke Timur'.

 Untung Besar Hasil Serangan Selepas Guthrie, tiga lagi syarikat perladangan British yang besar di Malaysia telah menjual kepentingan kepada PNB iaitu Highlands & Lowlands, Barlows dan Harrisons & Crosfield (H&C). H&C memiliki ladang yang cukup banyak, bukan sahaja di Malaysia malah juga dibeberapa negar alain seperti India, New Zealand dan Taiwan. Jadinya PNB telah menjadi tuan tanah kepada aset-aset British yang berada di seluruh dunia. Dan menjadi pemilik ladang terbesar di dunia.

 Menurut Tan Sri Khalid,"..kita sebenarnya mendapat Guthrie secara percuma." Setelah PNB menjual aset Guthrie yang berada di luar Malaysia, keuntungannya jauh lebih besar berbanding kos modal yang digunakan semasa Serangan Subuh.

Dikongsi dari SUMBER 

0 Response to "Kebijaksanaan Code "Serangan Subuh" diketuai Tun Mahathir mengambil kembali tanah-tanah di Malaysia yang dipegang Inggeris selama 160 tahun "

Post a Comment